Perutusan

PENGERUSI LZS

Y.A.M. Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

(D.K. II (Selangor), P.S.M., D.P.M.S., S.P.M.P., S.S.P.J.)

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh,

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad S.A.W dan juga sekalian ahli keluarga baginda. 

Alhamdulillah dengan izin-Nya, maka segala aktiviti agihan dan kutipan zakat bagi tahun 2022 dapat dirumuskan dan diterjemahkan dalam bentuk laporan untuk dijadikan sebagai rujukan masyarakat umum mengenai perjalanan pengurusan zakat di negeri Selangor khasnya. 

Sejak 28 tahun penubuhan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa berusaha untuk mencapai matlamatnya dengan menyediakan perkhidmatan terbaik dalam kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat Islam di negeri Selangor serta menjadikan LZS sebagai sebuah institusi zakat di Malaysia yang memenuhi piawaian pengurusan global.

Dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan sebagai Amil, LZS sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkatkan tahap pengurusan zakat serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme.

Sungguhpun berhadapan dengan cabaran berterusan akibat COVID-19 serta kesan inflasi dan kenaikan harga makanan, namun atas usaha yang dilaksanakan berserta doa yang dipanjatkan buat pertama kali LZS telah melakarkan sejarah dalam pencapaiannya dengan memecah rekod keseluruhan kutipan dan agihan zakat melepasi paras RM1 bilion pada tahun 2022.

Kejayaan ini mencerminkan usaha LZS yang saban tahun agresif meningkatkan jumlah kutipan zakat demi memastikan kelangsungan agihan zakat di Selangor.

 

KESELURUHAN KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT

Secara keseluruhannya, jumlah kutipan dan agihan zakat sepanjang 2022 memperlihatkan angka yang amat membanggakan. 

Tahun 2022 mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi yang dicapai oleh LZS iaitu sebanyak RM1.05 bilion telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf. Jumlah agihan zakat ini meningkat sebanyak 13.8 peratus daripada RM922 juta zakat yang diagihkan pada tahun 2021.

Ia telah menyokong kelangsungan hidup dan kesejahteraan lebih 350,000 asnaf di negeri Selangor. Agihan zakat ini juga membantu lebih 6,000 individu keluar daripada kemiskinan serta lebih 400 asnaf dibantu mendapat peluang pekerjaan yang terjamin.

Sebagai sebuah institusi zakat yang diamanahkan, penglibatan dalam komuniti merupakan agenda LZS dengan memberi tumpuan kepada lima teras utama pembangunan asnaf iaitu pembangunan sosial, pembangunan pendidikan, pembangunan institusi agama, pembangunan insan dan pembangunan ekonomi.

Daripada lima teras utama pembangunan asnaf tersebut, pengagihan zakat melalui Teras Pembangunan Sosial merupakan pengagihan tertinggi sepanjang tahun 2022. Manakala golongan asnaf fakir dan miskin adalah penerima terbesar melibatkan pengagihan zakat sebanyak RM568 juta iaitu 54 peratus dari keseluruhan agihan zakat.

Tiada kutipan zakat, maka tiadalah agihan zakat. Komitmen lebih 400,000 pengeluar zakat di Selangor telah membolehkan RM1.07 bilion berjaya dikutip melebihi kutipan tahun sebelumnya (2021) iaitu RM993 juta, peningkatan sebanyak 7.5 peratus.  Lebih membanggakan, jumlah pengeluar zakat juga turut meningkat 10 peratus berbanding 2021.

Peningkatan pengeluar zakat juga menunjukkan kefahaman zakat semakin meningkat dan keprihatinan masyarakat Islam untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Selangor.

Jutaan tahniah kepada individu yang memenuhi tanggungjawab mereka menjadi pengeluar zakat sekali gus membuat perubahan ketara dalam kehidupan insan yang memerlukan.

Beberapa pencapaian lain turut dilakarkan pada tahun 2022. Ini termasuklah menerima anugerah Majikan Pilihan oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia, pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah, dikenali sebagai ABMS, serta disenarai pendek sebagai Finalis dalam Anugerah Kecemerlangan Digital Global 2022 untuk Projek LZS dalam Zakat Digital Tanpa Tunai.

LZS turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memupuk pengetahuan dan kesedaran berzakat dalam kalangan generasi muda melalui pendidikan  dengan membangunkan Modul Pendidikan Zakat di 553 sekolah rendah dan menengah di bawah pengurusan JAIS. Koloborasi dengan rakan strategi turut diperluaskan antaranya Etiqa yang bekerjasama membangunkan Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni dalam usaha memperkasakan pendidikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di kawasan bandar.

Pencapaian ini sememangnya mencerminkan usaha gigih LZS untuk terus menngkatkan kualiti perkhidmatannya kepada pihak berkepentingan.

 

MENDEPANI 2023

Meskipun LZS telah membuktikan prestasi baik tahun 2022, namun kami tidak menolak hakikat peningkatan keperluan asnaf. Tambahan pula dengan kadar kemiskinan bandar yang semakin meningkat di Selangor, LZS menjangkakan populasi golongan asnaf akan bertambah sehingga 400,000 penerima menjelang tahun 2025. Oleh itu, sokongan berterusan dari pengeluar zakat amat diperlukan bagi memastikan agihan zakat mencukupi untuk menampung keperluan tersebut.

Selain itu, kami akan terus menambah baik perkhidmatan kepada pihak berkepentingan terutamanya dengan meneroka penggunaan teknologi. Justeru itu, pendigitalan menjadi fokus utama LZS yang beralih ke transaksi tanpa tunai dan meningkatkan kecekapan kami dengan memanfaatkan kecerdasan digital.

Komuniti kekal sebagai teras bagi setiap usaha yang kami lakukan. Oleh demikian, bermula pada penghujung 2022, LZS telah memperkenalkan rangka kerja ESG dalam operasi kami. Inisiatif ESG ini merupakan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan yang mampan kepada asnaf, muzakki dan semua pihak berkepentingan.

Akhir kata, saya serta seluruh pimpinan serta warga kerja LZS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak di atas sokongan dan kepercayaan kepada LZS. Semoga apa yang dilaksanakan ini akan beroleh kejayaan, keberkatan dan kerahmatan Allah S.W.T serta dapat memberi manfaat kepada umat Islam secara keseluruhannya.