Kata Aluan

Ketua Pegawai Eksekutif LZS

Mohd Sabirin Mohd Sarbini

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam keatas Rasul junjungan sekalian alam, Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, selepas 2 tahun dunia mengalami penularan wabak Covid-19.  Perlahan-lahan Negara bangkit bagi memulihkan kembali ekonomi, kesihatan serta rutin kehidupan seharian kita seperti sediakala.

Ianya, secara tidak langsung membawa LZS kepada titik perubahan yang baru, dengan era baru digitalisasi serta perubahan bekerja secara hibrid, kami di LZS perlu  memastikan kecukupan buat asnaf dan dalam masa yang sama terus proaktif bagi memastikan momentum kutipan zakat secara keseluruhan meningkat.

 

KUTIPAN ZAKAT DI SELANGOR

Pertama Sekali, kami di LZS mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengeluar zakat di selangor kerana anda, jumlah keseluruhan zakat pada tahun 2022 telah mencapai jumlah kutipan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM1,067.9 juta (RM1.07 bilion) yang telah berjaya dikutip. Zakat pendapatan masih menjadi tunjang dalam kutipan apabila mencatat RM612.5 juta diikuti zakat perniagaan (RM166.8 juta) dan zakat simpanan sebanyak RM112.3 juta.

Selain itu, jenis kutipan zakat lain ialah zakat harta, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saham, emas, tanaman, perak, dan ternakan membuatkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM1,034.9 juta. Tidak ketinggalan zakat fitrah juga mencapai kutipan sebanyak RM33.0 juta.

Kami di LZS sedaya upaya mengembeling tenaga agar kutipan zakat mencapai sasaran agar asnaf di selangor tidak tercicir dikala keadaan negara yang baru hendak pulih dan dengan keadaan ekonomi kita yang semakin mencabar.

Disaat gelombang digitalisasi yang semakin hangat, LZS juga telah meneroka platform pembayaran zakat tanpa tunai secara dalam talian bagi menggalakkan kutipan zakat dilakukan secara atas talian. Ini kerana jumlah kutipan zakat memainkan peranan penting dalam proses pengagihan zakat kepada asnaf.

Platform pembayaran atas talian yang boleh dilakukan adalah seperti:

  1. EZakatPay (FPX, Jom Pay, Touch n Go) dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  2. Perbankan internet
  3. Portal MyEg
  4. Pos Online
  5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost
  6. Aplikasi Zakat Selangor

Pada 2022 lebih 400,000 pengeluar zakat telah membayar zakat dengan LZS. Secara tidak langsung zakat itu telah berjaya diagihkan kepada 350,000 penerima zakat di Selangor. Terima Kasih sekali lagi buat semua pengeluar zakat di Selangor.

MENYANTUNI ASNAF ZAKAT

Dalam tahun 2022, agihan zakat kepada asnaf adalah mengikut dua teras utama iaitu teras pembangunan sosial dan teras pembangunan pendidikan. Keseluruhan agihan zakat mengikut asnaf sepanjang 2022 membabitkan RM1.05 bilion.  Antara bantuan terbesar yang diagihkan kepada penerima zakat di Selangor, adalah sebanyak RM235.4 juta diagihkan untuk bantuan kewangan dan makanan bulanan kepada 46,315 penerima kewangan dan 18,178 penerima bantuan makanan bulanan.

Bantuan Bina, Baik Pulih & Sewa rumah berjumlah RM122.6 juta diagihkan kepada 98 penerima Bina Rumah, 772 penerima Baik Pulih Rumah dan 18,233 penerima Sewa rumah. Manakala, RM100.7 juta telah diagihkan kepada 10,822 penerima Bantuan Perubatan dan rawatan Dialisis.

Bagi bantuan Kecemasan/runcit, RM85.5 juta telah diagihkan kepada 71,935 penerima. Seramai 67,798 penerima bantuan Keperluan Pendidikan dan Yuran menerima agihan berjumlah RM38.3 juta. Sebanyak RM33.5 juta pula diagihkan kepada 496 institusi untuk Bantuan Pembinan dan baik Pulih Institusi Agama.

Selain itu, RM29.1 juta telah diagihkan kepada 7,069 penerima elaun guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) dan Guru Agama/ Penceramah. Bantuan Bencana pula telah diagihkan kepada 54, 889 penerima iaitu berjumlah RM22.6 juta. Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor diagihkan sebanyak RM20.0 juta kepada 28,156 penerima. RM19.9 juta pula kepada 5,111 penerima untuk Kursus dan Latihan serta sebanyak RM19.4 juta untuk bantuan Umum Pelajaran, Dermasiswa Pelajar Dalam Negara, Dermasiswa Pelajar Luar Negara dan Sumbangan Pendidikan Orang Kelainan Upaya (OKU) kepada 31,389 penerima.

Lain-lain agihan pula adalah sebanyak RM15.6 juta untuk Biasiswa Pelajaran (5,940 penerima), RM11.1 juta diagihkan untuk Dermasiswa Hufaz Quran (5,234 penerima) dan RM5.5 juta untuk Hutang Keperlua Hidup (2,389 penerima).

Agihan zakat mengikut asnaf pula, sebanyak RM207.2 juta telah diagihkan kepada asnaf Fakir dan RM360.8 juta diagihkan kepada asnaf Miskin sepanjang tahun 2022. Manakala asnaf lain membabitkan fisabilillah dengan RM183.9 juta, asnaf amil (RM131.4 juta), gharim (RM90.0 juta), mualaf (RM52.2 juta), riqab (RM22.9 juta) dan Ibnu Sabil dengan RM0.9 juta.

Agihan zakat mengikut teras pembangunan tahun 2022 dibahagikan kepada 6 bahagian iaitu Sosial sebanyak RM707.7 juta, Pendidikan (RM150.6 juta), Kos Pengurusan (amil) sebanyak RM131.4 juta, Institusi Agama (RM33.5 juta), Insan (RM19.9 juta) dan Ekonomi (RM12.2 juta).

Kesemua inisiatif ini melibatkan penyaluran wang agihan berjumlah RM1,049.3 juta yang diagihkan secara berperingkat berakhir pada 31 Disember 2022.

HARAPAN KEPADA PENGELUAR ZAKAT DAN ASNAF

Seiring dengan perancangan masa hadapan (moving forward) LZS bagi tahun 2022 sehingga 2025, inisiatif ke arah Digitalisasi yang dijalankan di LZS diharap dapat meningkatkan lagi kutipan zakat dan mampu memberikan agihan yang seimbang kepada golongan yang memerlukan di Selangor.

Kaedah Cashless, Paperless, Automation dan Online Services diharapkan dapat memudah cara semua pihak dalam pembayaran dan penerimaan zakat. Dengan usahasama dan daya saing semua pihak, saya yakin LZS mampu menjadi sebuah organisasi peneraju institusi zakat setanding dengan peringkat global.

Sebelum mengakhiri bicara, saya mewakili seluruh warga LZS berharap agar pengeluar zakat terus setia mendukung LZS bagi sama-sama membantu golongan yang memerlukan di Selangor dan kami berharap, asnaf sentiasa berusaha serta tidak berputus asa untuk memperbaiki tahap ekonomi mereka. Semoga pada tahun 2023 mereka dapat membuka sebuah lembaran baharu buat LZS dan kehidupan mereka.

Sekian, terima kasih.