Perutusan

Chairman

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

Assalamulaikum dan salam sejahtera,

Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menjalankan amanah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat selaras dengan mandat yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ini selaras dengan visi LZS iaitu untuk menjadi institusi zakat terkemuka dengan piawaian pengurusan zakat global yang setanding. Malah ia diperkuatkan dengan misi iaitu berkhidmat kepada ummah dengan penuh integriti dan profesionalisme dalam aspek kutipan dan agihan zakat.

Rentetan itu, diharap objektif untuk memaksimumkan kutipan zakat, meningkatkan keberkesanan pengagihan zakat dan meningkatkan kecekapan pengurusan zakat dapat dicapai.

Keseluruhan Kutipan dan Agihan Zakat 2021

Keseluruhan kutipan dan agihan zakat sepanjang 2021 memperlihatkan angka yang membanggakan apabila RM993 juta berjaya dikutip manakala RM922 juta diagihkan kepada lapan golongan asnaf. Kutipan zakat dapat diterjemahkan menerusi kutipan zakat harta yang membabitkan sebanyak 364,778 muzakki. Kejayaan ini mencerminkan usaha LZS yang saban tahun agresif bagi meningkatkan jumlah kutipan zakat demi memastikan kelangsungan agihan zakat di Selangor.

Untuk rekod, kutipan zakat tertinggi diperolehi dalam bulan Disember iaitu RM277 juta. Zakat pendapatan masih lagi mendominasi jumlah kutipan tertinggi membabitkan RM571 juta. Pembayaran menggunakan saluran potongan gaji juga masih menjadi pilihan utama membabitkan RM335 juta. Seperkara yang menarik dalam aspek kutipan zakat pastinya peningkatan tertinggi dalam kategori saluran iaitu pembayaran secara digital dengan 79 peratus.

Dengan jumlah kutipan zakat yang amat memberangsangkan pada tahun 2021, LZS telah berupaya menyantuni seramai 69,011 orang asnaf (fakir, miskin, muallaf) di Selangor bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan. Pengagihan terbesar ialah bagi program sosial membabitkan RM598 juta. Kumpulan terbesar selaku penerima zakat ialah fakir dan miskin dengan RM515 juta meliputi bantuan berbentuk kebajikan dan pembangunan.

Namun begitu, LZS menyedari bakal berdepan cabaran getir apabila menjelang 2030 diramalkan jumlah keluarga fakir miskin dijangka mencecah 105,000 keluarga.

Memaksimumkan Kutipan Zakat

Rentetan itu, matlamat untuk memaksimumkan kutipan zakat ke arah RM1 bilion kini berada di landasan kukuh untuk menjadikannya satu realiti, agar manfaatnya demi kelangsungan agihan zakat di Selangor.

Oleh itu, LZS memperhebatkan inisiatif bagi memperkasakan pekeliling Taksiran Skim Potongan Gaji (SPG) dan peluasan capaian secara tahunan, memacu penebusan pasaran SPG melalui pendaftaran automatik e-Majikan ke atas majikan pencarum PERKESO, usahasama strategik bersama ejen berpotensi dan memperluas potensi kutipan zakat perniagaan melalui syarikat-syarikat korporat di Selangor.

Inisiatif lain turut diperluaskan dengan mengambil kira tumpuan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan, memaksimumkan kutipan melalui segmen generasi dan kategori ikut umur serta meningkatkan pengekalan pengeluar zakat dan menarik minat prospek untuk mengeluar zakat.

Fokus terhadap digitalisasi pula diberi keutamaan bagi memudahkan pengeluar zakat menunaikan kewajipan berzakat di mana-mana dan pada bila-bila masa. Platform pembayaran terkini terutama melalui digital terus diterokai seiring dengan perkembangan teknologi pada masa ini.

Meningkatkan keberkesanan agihan zakat

Sehubungan itu, inisiatif bagi meningkatkan keberkesanan agihan zakat tidak boleh dipandang sepi walaupun jumlah asnaf fakir dan miskin yang berjaya dikeluarkan meningkat setiap tahun. Namun harus diingat, jumlah asnaf yang kekal pada status asnaf fakir dan miskin masih tinggi.

Oleh yang demikian, seperti yang dirangka dalam Hala Tuju LZS 2020-2022, pendekatan agihan zakat terhadap asnaf mengikut profil akan dilaksanakan secara berperingkat. Agihan zakat terhadap asnaf yang produktif dan tidak produktif akan diperhalusi termasuk mempertingkatkan bantuan produktif dan menambahbaik bantuan konsumtif. Usaha ini adalah satu usaha jangka panjang yang perlu dilaksanakan dengan perancangan yang rapi dan holistik.

Selain itu, usaha mengembangkan potensi asnaf produktif dengan pelaksanaan Blueprint Pembangunan Asnaf (BPA) sudah dibangunkan sebagai suatu dokumen rujukan strategik bagi memacu gerak kerja pembangunan asnaf secara sistematik, terancang dan berintegrasi.

 

Menerusi BPA, matlamat akhir pembangunan asnaf fakir dan miskin adalah bagi membantu mereka supaya mampu berdikari sehingga mampu menjadi penyumbang semula kepada kitaran kutipan zakat selaras dengan falsafah “Dari Mustahiq (Penerima) kepada Muzakki (Pengeluar Zakat)”.

 

Mengukuhkan kemampuan teknologi dan digitalisasi

Sesuai dengan aliran perubahan aspek kecanggihan teknologi, LZS turut terpanggil untuk mengukuhkan kemampuan teknologi dan digitalisasi dalam urusan kutipan dan agihan zakat. Bagi memastikan proses transformasi digital LZS berlaku secara keseluruhan dan lebih efektif, LZS akan membangunkan solusi digital yang memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan sama ada asnaf atau muzakki.

 

Malah, LZS terus komited bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti dalam perancangan Strategi Teknologi Maklumat yang telah dirangka dalam Pelan Hala Tuju LZS 2020-2022. Pelaksanaan keutamaan inisiatif digitalisasi melibatkan divisyen utama dan sokongan LZS bagi menyokong tiga matlamat strategik Teknologi Maklumat yang sudah ditetapkan iaitu perkhidmatan yang responsif dan inovatif, sistem dan infrastruktur yang dipercayai dan berdaya tahan, berhubung dan tangkas.

Harapan

Sememangnya menjadi harapan LZS untuk sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan sekali gus menjadi pusat sehenti bagi asnaf dan muzakki membuat urusan. Semoga LZS dapat terus memacu dan meneraju perubahan dalam pengurusan zakat bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa.

Y.A.M. Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra

(D.K. II (Selangor), P.S.M., D.P.M.S., S.P.M.P., S.S.P.J.)
Chairman
Lembaga Zakat Selangor