Kata Aluan

Chief Executive Officer

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

Tahun 2021 pastinya mencatatkan banyak kisah yang tidak akan dilupakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Penularan COVID-19 yang berlarutan sejak tahun lalu dan impaknya berlarutan hingga ke hari ini serta bencana alam yang tidak diduga telah mewarnai tahun 2021.

Walaupun cabaran dan dugaan silih berganti, namun LZS terus proaktif bagi memastikan momentum kutipan dan agihan zakat secara keseluruhan meningkat.

KUTIPAN ZAKAT DI SELANGOR

Ini berlandaskan jumlah keseluruhan zakat sebanyak RM992,911,959 yang berjaya dikutip sepanjang 2021. Zakat pendapatan masih menjadi tunjang dalam kutipan apabila mencatat RM570,677,780, diikuti zakat perniagaan (RM174.9 juta) dan zakat simpanan sebanyak RM92.8 juta.

Jenis kutipan zakat lain ialah harta, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saham, emas, tanaman, perak, ternakan dan fitrah tetap memainkan peranan masing-masing dalam kutipan zakat di Selangor.

Bagi memastikan kantung zakat dipenuhi, LZS melihat semula potensi kutipan zakat dengan memberi penumpuan kepada sektor dan industri yang kurang impak COVID-19 iaitu:

  1. Sektor kerajaan – seperti polis, tentera, pendidikan, kesihatan dan lain-lain dengan memberi fokus kepada zakat pendapatan melalui Potongan Zakat Bulanan
  2. Perniagaan – tumpuan kepada industri perkhidmatan utama seperti perkhidmatan kesihatan, makanan, keselamatan, kewangan dan lain-lain

Secara dasarnya agihan zakat amat bergantung dengan jumlah kutipan zakat. Lebih ramai orang yang mengeluarkan zakat, maka lebih ramai asnaf dapat dibantu dan menerima manfaat.

Maka, LZS giat meneroka platform pembayaran zakat tanpa tunai secara dalam talian, lebih-lebih lagi dalam norma baharu. Ini termasuklah dengan memperkasakan platform pembayaran sedia ada iaitu:

  1. EZakatPay (FPX, Jom Pay, Touch n Go) dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  2. Perbankan internet
  3. Portal MyEg
  4. Pos Online
  5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost
  6. Aplikasi Zakat Selangor


Selain itu 2,800 Penolong Amil Fitrah juga diperkasakan terutama sewaktu bulan puncak Ramadan dengan menempatkan 450 surau/masjid dan pasar raya terpilih bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan kewajipan berzakat mereka.

LZS turut menyebarluaskan dakwah bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka lebih-lebih lagi mereka yang berumur 25 tahun ke atas. Sehingga penutup tahun 2021, seramai 364,778 pengeluar zakat di Selangor telah menunaikan zakat di LZS.

 

MENYANTUNI ASNAF ZAKAT

Dalam pada itu, keseluruhan agihan zakat mengikut asnaf sepanjang 2021 membabitkan RM922.3 juta (kenaikan 6.3% berbanding tahun 2020).  Daripada jumlah tersebut, 56% diagihkan kepada dua kategori asnaf iaitu fakir dan miskin membabitkan RM338.7 juta yang disalurkan untuk asnaf miskin, diikuti fakir RM176.2 juta.

Untuk rekod, seramai 63,112 keluarga asnaf fakir dan miskin serta 5,899 orang mualaf telah disantuni dengan bantuan zakat sepanjang tahun 2021.

Manakala asnaf lain membabitkan fisabilillah dengan RM147.5 juta, asnaf amil (RM122.1 juta), gharim (RM78.6 juta), mualaf (RM38.2 juta), riqab (RM20.3 juta) dan Ibnu Sabil dengan RM282,760.

LZS turut menyantuni golongan terkesan di negeri ini ketika COVID-19 melanda. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan secara on-off sehingga PKP 3.0 akhirnya membentuk kemiskinan yang tidak diduga dalam kalangan masyarakat terkesan terutamanya golongan B40. Oleh itu, LZS mencari kaedah terbaik untuk memastikan asnaf dan golongan yang memerlukan terus dapat disantuni dan dalam masa yang sama juga memastikan kelangsungan agihan zakat di Selangor.

Maka inisiatif seperti Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) diperkenalkan melibatkan individu yang hilang pendapatan atau diberhentikan kerja, pekerja yang diarah cuti tanpa gaji dan pekerja yang terlibat dalam pemotongan gaji bulanan.

Ia sebagai suatu langkah proaktif yang menawarkan penyelesaian tempoh singkat bagi mencegah kelompok individu yang terjejas dan terkesan dengan suasana ekonomi semasa daripada terjatuh ke dalam kancah kemiskinan. Impak positif daripada BAIT ini telah memberi manfaat kepada 13,336 penerima membabitkan RM7.0 juta agihan zakat. 

Di samping itu, LZS turut memperkenalkan Zakat Selangor Peduli (ZSP) dengan menyediakan 19 inisiatif bantuan bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan PKP 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19. Melalui empat agenda utama, ZSP menyalurkan agihan secara bersasar:

  1. Memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf
  2. Meringankan beban golongan rentan
  3. Menyokong pemulihan institusi agama di Selangor
  4. Menyokong keperluan asas barisan hadapan.


Inisiatif bantuan ini telah memberikan manfaat kepada 7,442 penerima yang mendapat Bantuan Kewangan dan Makanan Bulanan, 3,900 penerima yang disantuni dengan Bantuan Keperluan Hidup, Bantuan Sewa Rumah (2,219 penerima), Bantuan Guru KAFA (7,000 penerima), Bantuan Makanan dan Keperluan Hidup (1,172 penerima), 10,026 pelajar asnaf yang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan tablet beserta data internet, Bantuan Suntikan Modal kepada usahawan terkesan melibatkan 3,888 penerima, Bakul Rezeki dengan 1,000 penerima, Bantuan Bakul Makanan (16,848 penerima) dan sebagainya.

Malah menerusi ZSP, LZS turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.0 juta menggunakan wang pengurusan amil bagi menyokong keperluan asas barisan hadapan melalui sumbangan kepada hospital, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Kesemua inisiatif ini melibatkan penyaluran wang agihan berjumlah RM62.5 juta yang diagihkan secara berperingkat bermula Julai hingga Disember 2021.

 

PERISTIWA BESAR 2021

Penutup 2021 mencatatkan satu peristiwa besar yang menguji LZS. Hujan lebat yang berterusan pada 17 dan 18 Disember 2021 mengakibatkan banjir luar biasa di sebahagian besar daerah di Selangor. Malah tragedi banjir kali ini merupakan kejadian terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Susulan itu, LZS secara proaktif menyalurkan bantuan awal bermula pada 18 Disember 2021 ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berupa 5,000 pek makanan bermasak, makanan kering dan barangan keperluan harian.

Selain itu, LZS turut menyalurkan bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM600 kepada mangsa banjir dalam kalangan asnaf dan bukan asnaf yang diwar-warkan di media massa dan media sosial LZS. Bantuan secara one-off ini memberi manfaat kepada 29,270 keluarga mangsa banjir melibatkan agihan zakat RM28.0 juta.

Secara keseluruhan sebanyak RM42.2 juta telah disalurkan bagi kepada mangsa banjir termasuklah bantuan pasca banjir berupa baik pulih rumah, surau dan masjid serta keperluan asas rumah.

 

BLUEPRINT PEMBANGUNAN ASNAF

Patah sayap, bertongkat paruh. Mengambil maksud peribahasa ini, keluarga besar LZS akan terus mengerjakan amanah dengan sehabis-habis usaha. Untuk itu, inisiatif untuk mengembangkan potensi asnaf produktif dengan pelaksanaan Blueprint Pembangunan Asnaf (BPA) seharusnya menjadi anjakan paradigma yang disasarkan.

BPA merupakan satu usaha strategik yang dibangunkan oleh LZS bagi merealisasikan hasrat untuk memperkasakan kemandirian dan keupayaan asnaf dalam meningkatkan kualiti kehidupan mereka, membuka ruang untuk membawa golongan ini untuk mampu berdikari.

Bertujuan untuk mentransformasikan asnaf fakir dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Dan akhirnya boleh menyumbang semula menjadi pengeluar zakat pada masa hadapan.

Tahun 2021 adalah permulaan bagi Fasa Pra-Pelaksanaan BPA dengan 17 aktiviti utama membabitkan lapan kerangka strategi utama BPA. Ia menggariskan sebanyak lapan objektif strategik dan lapan strategi utama yang mensasarkan pembangunan dari aspek kerohanian, keusahawanan, kerjaya, kemahiran dan pendidikan (generasi kedua).

 

HARAPAN KEPADA PENGELUAR ZAKAT DAN ASNAF

Akhir bicara, saya mewakili seluruh warga LZS berharap agar pengeluar zakat meneruskan peranan suci mereka dan asnaf pula tidak berputus asa untuk memperbaiki tahap ekonomi mereka. Semoga tahun 2022 bakal membuka kepada sebuah lembaran baharu buat LZS dalam menongkah arus perjalanan, serta meneruskan langkah dan kayuhan demi membawa agenda zakat ke persada dunia.

Saipolyazan bin Mat Yusop

Chief Executive Officer
Lembaga Zakat Selangor